17 DIS : Kira-kira 52 peratus pengguna menikmati perkhidmatan rangkaian teknologi 5G di Malaysia, tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata usaha berterusan pelbagai pihak bagi memperkukuh infrastruktur digital negara menunjukkan perkembangan amat positif serta peningkatan signifikan berbanding tahun lalu.
Katanya, kejayaan ini dicapai bukan hanya usaha daripada pihak kementerian sahaja malah, ia juga melibatkan tenaga dalam kalangan pembina menara dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
“Ini angka yang sangat baik jika dibandingkan dengan setahun lalu, dan kita juga telah berupaya menyelesaikan banyak masalah melibatkan projek JENDELA (Jalinan Digital Negara) yang secara keseluruhan bagi fasa pertama menelan belanja RM5.15 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.
Fahmi berkata syarikat telekomunikasi mempunyai sasaran jumlah menara yang perlu siap dan diaktifkan menjelang tarikh akhir, Jun 2025 bagi projek fasa pertama.
Menyentuh soal keselamatan dalam media sosial, Fahmi mengingatkan ibu bapa agar tidak mengamalkan amalan ‘sharenting’ iaitu perkongsian foto dan video anak-anak serta maklumat pengenalan diri yang lain dalam dunia maya.
Tegas beliau, amalan mendedahlan kegiatan harian serta maklumat anak-anak di media sosial boleh mengundang jenayah dalam talian.
Pada masa sama, beliau meminta ibu bapa agar tidak membenarkan anak mereka membuka akaun media sosial jika berumur di bawah 13 tahun.
“Saya juga ingin mengingatkan kita semua untuk lebih berhati-hati dengan apa yang kita kongsi dalam talian. Kita tidak tahu siapa yang akan menyimpan dan menggunakan maklumat tersebut.
“Saya tak nak kita ambil sambil lewa isu keselamatan dalam talian, kemudaratan dalam talian ini benar-benar berlaku,” katanya.
Justeru, beliau berkata menjelang tahun depan, Kementerian Komunikasi bakal mewujudkan satu ikrar berhubung keselamatan talian melibatkan kanak-kanak dan ia akan menjadi komitmen rasmi bagi warga kerja kementerian untuk meningkatkan keselamatan dalam talian.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata lantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sudah dimaklumkan kepada jemaah menteri.
Jelasnya, nasihat yang diberi mana-mana anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN 2025 adalah bersifat panduan dan tidak terikat.
“Tak ada masalah dari segi keteraturan bagi Pengerusi ASEAN melantik siapa-siapa menjadi penasihat kepada beliau (perdana menteri), bukan kepada ASEAN, kerana untuk menjadi Pengerusi ASEAN adalah sekali setiap 10 tahun. Jadi peluang yang cukup penting.
“Dapatan hasil daripada perbincangan mereka itu akan menjadi nasihat dan panduan untuk Perdana Menteri. Akhirnya apa pun keputusan bagi ASEAN akan diputuskan oleh ASEAN itu sendiri bukan oleh mana-mana pihak yang lain,” katanya.
Semalam, pelantikan Thaksin itu diumumkan Anwar pada sidang media bersama Perdana Menteru Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang juga anak Thaksin di Putrajaya.
Kata Fahmi lagi, tiada bantahan daripada jemaah menteri ketika dimaklumkan Anwar berkait lantikan itu.
Malaysia secara rasmi akan menjawat sebagai pengerusi ASEAN pada 1 Januari ini dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.