17 DIS : Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel memperluas penempatan haram di Bukit Golan, Syria yang diduduki.
Tindakan itu secara terang-terangan melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Syria.
Kementerian Luar Negeri yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata serangan udara Israel yang menyasarkan pelbagai lokasi di wilayah Syria bertentangan dengan prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral mereka dengan memastikan Israel segera menghentikan semua serangan haram dan bertanggungjawab atas pendudukan haram di tanah Syria, selaras dengan Resolusi 497 (1981) Majlis Keselamatan PBB.
“Malaysia menuntut Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB berkaitan, termasuk Resolusi 79/83 yang diterima pakai pada 3 Disember 2024,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Wisma Putra turut mengesahkan sokongan Malaysia terhadap kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Syria.
Katanya, Malaysia bersedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa demi mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berkekalan di Syria dan rantau Asia Barat yang lebih luas.