17 DIS: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Musa menerima Surat Cara Pelantikan seterusnya mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tun.
Musa,73 menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember 2024 selepas memegang jawatan tersebut sejak 2011.
Musa yang dilahirkan pada 30 Mac 1951 di Beaufort, Sabah merupakan Ketua Menteri Sabah yang paling lama berkhidmat bermula 2003 sehingga 2018.
Terdahulu, nama Musa Aman disebut-sebut sebagai individu yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu dan ia mula tersebar di media sosial beberapa hari lepas.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataannya pada 27 November memaklumkan akan mengemukakan nama yang dicalonkan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dan seterusnya dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.