17 DIS : Kerajaan akan membentang Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat di Parlimen tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam.
“Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) semalam, antara dibincangkan adalah cadangan dasar bagi penggubalan RUU Kebebasan Maklumat (atau Freedom of Information Act, FOI).
“Mesyuarat bersetuju supaya RUU ini dibentangkan di Parlimen pada 2025 ke arah meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam dengan memastikan hak individu untuk akses kepada maklumat di bawah bidang kuasa kerajaan terjamin dan terpelihara di sisi undang-undang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata sesi libat urus sudah dijalankan seluruh negara bagi meneliti draf RUU berkenaan.
Sesi dijalankan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri itu melibatkan lebih 1,100 peserta dan wakil agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan, badan peguam dan ahli akademik.
Akta Kebebasan Maklumat membolehkan setiap individu mengakses maklumat mana-mana kementerian, jabatan atau agensi kerajaan melalui permohonan yang dikemukakan kecuali data peribadi dan maklumat yang boleh menggugat ketenteraman awam serta negara.
Selain itu, Anwar berkata beliau juga mengambil maklum tentang penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.”
Langkah ini diambil untuk menambahbaik imej dan persepsi negara berhubung tatakelola baik sektor awam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan pelabur asing.
“Adalah menjadi tekad Kerajaan untuk sentiasa memperkukuh agenda tatakelola baik negara, mempertingkat integriti dan memerangi rasuah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim