17 DIS : Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dilantik semula sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Mac 2025.
Lanjutan tempoh jawatan yang dijangka tamat pada 28 Februari dibuat Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Mohamad Salim pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah MCMC dan Pengerusi Interim MCMC dari Jun 2022 hingga Januari 2023.
Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, MCMC mencatatkan prestasi kewangan terbaik iaitu pendapatan bersih RM1.13 bilion tahun lepas.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding tahun sebelumnya di bawah kepimpinan beliau.
Selain itu, MCMC berjaya mengurangkan perbelanjaan operasi sebanyak 21 peratus daripada RM524.8 juta pada 2022 kepada RM412.7 juta tahun lepas di mana ia membuktikan MCMC menggunakan sumber dengan lebih optimum.
MCMC juga berjaya menandatangani perjanjian strategik dengan Agensi Internet dan Keselamatan Korea, Blackberry Limited, dan Microsoft Malaysia bagi tujuan memperkukuh keselamatan siber dan pembangunan kecerdasan buatan Malaysia.
Dalam pada itu, MCMC juga sedang giat membangunkan bandar pintar dengan menyesuaikannya infrastruktur dan teknologi digital yang diperlukan di Kota Kinabalu, Sabah, dan Ipoh, Perak.
Selain menjadi Pengerusi MCMC,beliau juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Multimedia untuk tempoh dua tahun selain menjadi ahli panel perundingan dan pencegahan rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari April 2022 hingga Mac 2024 serta pemegang saham Malaysian Resources Corporation Bhd.