18 DIS : Ketidaktentuan harga sayur-sayuran dalam pasaran dijangka kembali pulih selepas Monsun Timur Laut (MTL) berakhir, Mac tahun depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata harga jualan meningkat susulan kekurangan bekalan atas faktor cuaca.
“Setiap kali musim tengkujuh akan berlaku masalah tersebut dan kita memang ada terima laporan berhubung perkara ini yang mana harga sayur yang dijual di pasaran akan meningkat.
“Justeru, kita jangka masalah ini dapat diselesaikan pada Mac tahun depan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memainkan peranan untuk memastikan bekalan sayur mencukupi di negeri yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) Fasa 2 RM6.3 juta, hari ini kepada 10,628 pesawah di Kelantan yang terjejas banjir tahun ini di Tumpat.
Menurut Mohamad, kerugian awal dalam sektor pertanian akibat banjir sejak bulan lepas di Kelantan dianggarkan mencecah RM33.2 juta melibatkan 4,888 individu.
“Seluas 10,229.12 hektar kawasan pertanian terjejas dengan 9,958.29 hektar kawasan sawah melibatkan 4,207 pesawah manakala selebihnya adalah kawasan perikanan dan tanaman selain padi.
“KPKM bersama jabatan dan agensi di bawahnya sentiasa bersedia membantu semua golongan sasar yang terkesan dengan bencana banjir selaras dengan nilai teras Ihsan di bawah Malaysia MADANI,” katanya.