18 DIS : Malaysia menyampaikan sumbangan AS$5 juta untuk rakyat Palestin melalui organisasi kerajaan Jordan, hari ini.
Sumbangan itu hasil derma yang terkumpul daripada tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Malaysia menyampaikan bantuan itu berkata ia akan disalurkan menerusi organisasi kerajaan Jordan untuk membeli barangan keperluan rakyat Palestin.
“Bantuan sebanyak $AS5 juta ini adakah merupakan wang yang telah didermakan rakyat Malaysia dibawah AAKRP yang telah dapat dikumpulkan sebanyak RM99 juta .
“Tapi banyak telah kita serahkan kepada banyak pihak…kepada Persatuan Palang Merah Mesir dan Palestin,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Malaysia kepada Palestin di bawah Inisiatif Kerajaan Jordan, hari ini.
Mohamad menyampaikan sumbangan itu kepada Duta Besar Jordan, Ismael Maddallah Suliman Maaytah di Wisma Putra, hari ini.
Menurut Mohamad, sumbangan terkumpul itu merupakan usaha rakyat Malaysia yang berterusan menyalurkan sumbangan untuk rakyat Palestin.
“Ini merupakan usaha Malaysia, rakyat Malaysia untuk kita terus membantu Palestin yang mengalami kekejaman tidak berperikemanusiaan, dibunuh kanak-kanak dan wanita tidak berdosa seolah olah nyawa tidak berharga.
“Hari ini kita serahkan kepada pihak-pihak yang tertentu di sana (Palestin) dan melalui wakil NGO kita di sini menerusi OP Ihsan dan lain-lain telah diserahkan melebihi RM70 juta.
“Ada sedikit lagi kita akan serahkan pula terus kepada pihak Palestin supaya mereka mendapat membina, mengurus semula perigi yang dimusnah dan bantuan perubatan amat diperlukan dan musim sejuk ini berbagai kesulitan dihadapi rakyat Palestin terutama pakaian sejuk,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kerajaan belum mempunyai perancangan untuk membawa pulang lebih 50 rakyat Malaysia yang berada di Syria selepas kerajaan Bashar al-Assad tumbang.
Jelasnya, kerajaan sentiasa memantau perkembangan dan keselamatan rakyat Malaysia termasuk pelajar di Syria.
“Kementerian Luar memantau keadaan dan kita berharap supaya keamanan dapat dikekalkan, supaya kerajaan yang baru ditubuhkan berusaha untuk mengekalkan keamanan serta keselamatan.
“Rakyat Malaysia kebanyakannya adalah pelajar ada di sana dan Konsul Kehormat (Malaysia) secara harian berhubung dengan Wisma Putra. Ambil gambar, ambil video rakyat kita dan pelajar kita di sana dalam keadaan selamat,” katanya.