18 DIS: Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia mencatat kemajuan yang memberangsangkan mengatasi purata pencapaian global.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2024, hari ini.
“…Malaysia mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan dengan unjuran pencapaian 43 peratus (%) sasaran SDG menjelang 2030 dimana unjuran ini mengatasi purata unjuran pencapaian global pada 17%.
“Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh dengan sasaran indikator SDG negara yang seiring dengan sasaran-sasaran Ekonomi MADANI sementelahan pendekatan keseluruhan negara amat penting dalam mempergiat dan menambah baik inisiatif-inisiatif yang sudah dirangka, “ katanya melalui hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan beberapa perkara diberi penelitian dan dipersetujui dalam mesyuarat itu termasuk kertas cadangan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan.
Jelas beliau, pelan tersebut dirangka dalam usaha kerajaan membawa entiti perniagaan Malaysia secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG.
“Selain itu,ia juga akan dibawa ke peringkat yang melangkaui tahap pematuhan sekaligus mewujudkan kelebihan kompetitif dan pembangunan mampan negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan syarikat-syarikat tersenarai awam, multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disarankan melaksanakan bantuan latihan penerapan ESG bagi memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak dibebankan dengan kos yang tinggi dalam usaha mematuhi garis panduan ESG.
“Ini penting bagi menyokong PKS dalam rantaian nilai masing-masing, sayugia kementerian-kementerian yang berkaitan disaran untuk memperkukuh program latihan yang bersesuaian kepada entiti perniagaan yang disasarkan,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim