18 DIS : Risiko jangkitan selesema burung H5N1 terhadap manusia kekal rendah, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Namun badan antarabanhsa itu berkata risiko akan lebih tinggi kepada pekerja ladang dan individu yang terdedah kepada haiwan dijangkiti virus itu.
Pemangku pengarah pengurusan ancaman wabak dan pandemik WHO, Maria Van Kerkhove berkata majoriti kes yang dilaporkan tahun ini melibatkan pekerja ladang.
Katany, Amerika Syarikat (AS) melaporkan 61 jangkitan di tengah-tengah wabak dalam kalangan hidupan liar, ayam itik dan lembu tenusu.
Van Kerkhove berkata risiko bagi pekerja ladang yang terdedah secara langsung sedikit lebih tinggi iaitu pada tahap rendah hingga sederhana.
Katanya, tahap risiko bergantung kepada langkah mitigasi yang dilaksanakan seperti penggunaan peralatan pelindung diri (PPE) termasuk topeng, sarung tangan, but dan pelindung mata.
Van Kerkhove menegaskan virus H5N1 kekal sebagai virus yang bersifat burung dan belum menyesuaikan diri untuk merebak antara manusia.
Namun, beliau memberi amaran virus itu sedang berevolusi dan memerlukan siasatan menyeluruh selepas setiap kes manusia dalam usaha mengesan sebarang kemungkinan penularan.