19 DIS : Kerajaan belum berhasrat untuk mewujudkan akta khas berkait had umur penggunaan media sosial untuk individu berumur 16 tahun ke bawah seperti dilaksanakan Australia.
Namun Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan memantau had umur pengguna itu melalui pelesenan kepada penyedia platform media sosial.
“Semua platform waktu ini tentukan bawah 13 tahun tidak boleh buka akaun media sosial. Kita akan lihat bagaimana mereka kuat kuasa had larangan had umur itu berdasarkan apa yang mereka sendiri sudah tetapkan.
“Kita akan pertimbang langkah-langkah tambahan sekiranya mereka gagal atau maklum balas yang diberikan tidak memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) bersempana Perak Ecomonic Outlook 2024 di Ipoh, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata perbincangan pihaknya bersama penyedia platform kini tertumpu kepada isu teknikal.
Pada masa sama beliau melahirkan kebimbangan terhadap jenayah seksual yang berleluasa dalam beberapa platform media sosial.
“Ada beberapa platform yang meminta penjelasan tentang satu dua perkara. Ada yang sedang menyediakan dokumentasi perundangan. Saya telah meminta supaya kesemua dihubungi dan memberikan maklum balas pada hari ini bagi memastikan platform-platform ini berdaftar.
“Ada laporan mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan pedofilia yang berleluasa di beberapa platform. Kita tak nak masalah ini berlarutan,” katanya.
Sebelum ini, MCMC mengumumkan semua penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025 susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet diperkenal pada 1 Ogos lalu.
Fahmi sebelumnya menegaskan tujuan pelesenan itu bukannya untuk menyekat kebebasan bersuara sebaliknya ia berasaskan kepada tiga perkara iaitu penipuan, buli siber dan jenayah seks khususnya terhadap kanak-kanak.
*Foto: Facebook Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia