Rayuan haji dibuka mulai hari ini
19 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) membuka permohonan rayuan bagi mengerjakan ibadat haji untuk tahun 1446H/2025M bermula hari ini sehingga 31 Januari depan.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun berkata proses rayuan tersebut dibuka lebih awal menerusi aplikasi dan laman sesawang THiJARI bagi mengelakkan proses rayuan haji dilakukan pada saat-saat akhir.
Jelas Mohd Hisham, para pendeposit TH boleh memuat turun aplikasi THiJARI melalui App Store atau Play Store atau melayari laman sesawang www.thijari.com.my untuk mengetahui proses membuat permohonan rayuan, menyemak kategori rayuan dan status permohonan.
“TH akan memberi keutamaan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia dan pengiring bagi jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji pada musim haji 1446H/2025M,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Orang ramai boleh melayari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut.