19 DIS : Kerajaan akan melaksanakan langkah intervensi terus terhadap golongan miskin tegar di 10 daerah yang mencatat kadar kemiskinan tertinggi di negara ini.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kegiatan ekonomi mampan akan dibangun di daerah terlibat dengan lapan daripadanya di Sabah.
Katanya, kegiatan ekonomi itu membolehkan penduduk setempat menjana pendapatan dan keluar daripada belenggu kemiskinan.
Menurutnya, pemberian wang tunai setiap bulan daripada kerajaan bukan penyelesaian kepada isu kemiskinan di negara ini.
“Sebelum ini, sebahagian besar pendekatan makro tidak membezakan sangat daerah termiskin dan daerah-daerah lain.
“Melalui RMK13 ini, kita ada strategi khusus untuk campur tangan secara terus di daerah termiskin ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus RMK13 bersama Kerajaan Negeri Sabah yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya di Kota Kinabalu, hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan 10 daerah termiskin di negara ini membabitkan lapan di Sabah iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu manakala dua lagi Pusa di Sarawak dan Lojing di Kelantan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri meminta Putrajaya memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur asas dan utiliti di Sabah dalam RMK13.
“Penyediaan utiliti asas seperti bekalan air bersih dan elektrik yang lengkap terutama di kawasan luar bandar adalah aspek penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat selain dapat merangsang pelbagai aktiviti seperti pertumbuhan ekonomi serta pelaburan,” katanya yang teks ucapannya dibacakan Shahelmey.
Menurutnya, kerajaan perlu menangani isu jurang pembangunan yang signifikan antara bandar dan luar bandar di Sabah dalam RMK13.
“Kerajaan negeri percaya bahawa pembangunan seimbang adalah kunci kesejahteraan masyarakat
“Ini seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi geografi, dapat menikmati manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.
*Foto: Facebook Polis Sabah