19 DIS : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Keputusan itu dibuat Hakim, K Muniandy selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu untuk membatalkan semua pertuduhan ke atasnya.
Permohonan itu atas alasan pertuduhan dibuat tanpa asas dan tidak dikemukakan unsur kesalah dalam tuduhan tersebut.
Rosmah, 73 dalam permohonannya sebelum ini berhujah bahawa kualiti hidupnya terjejas akibat ketidakadilan dalam kes itu.
Namun pendakwaan menegaskan semua pertuduhan sah di sisi undang-undang dan mengandungi maklumat mencukupi untuk memaklumkan tertuduh mengenai kesalahan yang didakwa bagi membolehkan pembelaan yang sewajarnya disediakan.
Pada 23 Ogos lalu, mahkamah dimaklumkan bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib turut bersetuju namun menurutnya proses dokumentasi masih pada peringkat akhir sebelum perintah mahkamah dapat diteruskan.
Pada 13 Disember tahun lalu, Rosmah mengemukakan tiga surat representasi bagi menggugurkan tuduhan berkenaan selepas dua permohonan sama pada 3 Mei dan 18 Ogos masih tidak diputuskan Pejabat Peguam Negara.
Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.