20 DIS : Penderitaan tidak terperi rakyat Palestin berikutan perang genosid berterusan Israel di Gaza semakin membimbangkan dan perlu dihentikan segera.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Malaysia menggesa tindakan tegas dan pantas bagi menghentikan krisis yang semakin meruncing di Timur Tengah akibat serangan Israel.
Katanya, situasi tidak menentu di Palestin, Lubnan, dan Syria perlu ditangani dengan segera, memandangkan ketibaan musim sejuk akan memburukkan lagi keadaan rakyat yang dilanda perang.
“Kami amat bimbang terhadap penderitaan tidak terperi yang sedang berlaku di Gaza. Situasi ini merupakan noda kepada hati nurani kolektif kita. Kita menyaksikan proses penghapusan nilai-nilai kemanusiaan terhadap seluruh rakyat, khususnya di Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi ke-21 Mesyuarat Majlis Menteri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) sempena Sesi ke-48 Suruhanjaya D-8 di Kaherah, Mesir pada Khamis.
Zambry mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Ke-11 D-8 untuk Kerjasama Ekonomi dan mesyuarat berkaitan.
D-8 merupakan sebuah kumpulan negara Islam membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye yang ditubuhkan di Istanbul, Turkiye pada 15 Jun 1997.
Sesi mesyuarat D-8 kali ini membincangkan dokumen penting termasuk Deklarasi Kaherah dan Kenyataan Bersama mengenai Situasi di Gaza dan Lubnan, yang kedua-duanya akan dibentangkan kepada Pemimpin pada Sidang Kemuncak untuk diterima pakai.
Sementara itu, Zambry berkata Malaysia mengalu-alukan Azerbaijan sebagai ahli terbaru D-8 yang akan memperkayakan kerjasama ekonomi dan perdagangan.
Katanya, Malaysia juga menyokong dokumen hasil Sidang Kemuncak ke-11 D-8, Deklarasi Kaherah yang bertemakan Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy.
“Deklarasi itu merupakan bukti komitmen teguh untuk memperkasakan belia sebagai pemimpin masa depan dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Belia kita adalah arkitek masa depan. Dengan kreativiti, tenaga dan potensi tanpa had, mereka memegang kunci untuk menyelesaikan cabaran paling mendesak,” katanya.
Zambry dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8 esok serta berucap dalam Sesi Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.
Beliau turut menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8, serta Kenyataan Negara dalam Sidang Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.