20 DIS : Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan kadar inflasi Malaysia bagi November 2024 susut kepada 1.8 peratus daripada 1.9 peratus pada Oktober tahun ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia merupakan penurunan pertama sejak Ogos 2021 di mana penurunan tersebut didorong inflasi beberapa kumpulan utama termasuk maklumat & komunikasi (-2.3%), pengangkutan (-0.2%) serta pakaian dan Kasut (-0.1%).
Katanya, angka itu menunjukkan inflasi teras masih kekal stabil pada kadar 1.8% berbanding Oktober lalu.
Jelas Mohd Uzir, peningkatan inflasi teras pada November 2024 didorong beberapa kumpulan utama, termasuk makanan dan minuman (3.7 peratus), penjagaan diri, perlindungan sosial serta barangan dan perkhidmatan lain (3.4 peratus) serta restoran dan perkhidmatan penginapan (2.8 peratus).
“Indeks harga pengguna (IHP) bagi November 2024 turun kepada 133.3, berbanding 130.9 pada tempoh yang sama tahun lepas.
“Peningkatan inflasi pada November 2024 didorong kenaikan yang lebih perlahan dalam beberapa kumpulan utama termasuk kesihatan (1.2 peratus) dan pengangkutan (0.4 peratus), manakala inflasi dalam kumpulan makanan dan minuman meningkat kepada 2.6 peratus berbanding 2.3 peratus pada Oktober 2024,” katanya.
Katanya lagi, kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain turut mencatat peningkatan lebih tinggi pada 3.2 peratus berbanding 3.1 peratus pada bulan sebelumnya.
“Inflasi maklumat dan komunikasi terus menurun kepada negatif 3.9 peratus pada November 2024 (Oktober 2024: -1.7 peratus) disebabkan penurunan inflasi subkumpulan utama perkhidmatan maklumat dan komunikasi pada negatif 4.4 peratus (Oktober 2024: -1.8 peratus).
“Pakaian dan kasut kekal dalam jajaran negatif pada -0.3 peratus (Oktober 2024: -0.2 peratus),” katanya.
Manakala bagi kumpulan lain menunjukkan peningkatan inflasi termasuk penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.4 peratus); restoran dan perkhidmatan penginapan (2.8 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (2.0 peratus).
“Inflasi dalam sektor pendidikan meningkat kepada 1.5 peratus diikuti minuman, alkohol dan tembakau (0.8 peratus).
“Hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.5 peratus) serta insurans dan perkhidmatan kewangan (0.5 peratus) turut mencatatkan peningkatan yang serupa dengan bulan sebelumnya,” katanya.
Menurutnya inflasi dalam sektor pengangkutan turun kepada 0.4 peratus pada November 2024 daripada 0.7 peratus pada Oktober 2024, disumbang subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian.
Selain itu, subkumpulan pembelian kenderaan mencatatkan penurunan – 0.6 peratus (Oktober 2024: 0.3 peratus) kesan daripada diskaun dalam bentuk rebat kepada pembeli kereta baharu.
Manakala inflasi bahan api diesel dan petrol tanpa plumbum RON97 kekal pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya iaitu pada 15.0 peratus dan -8.1 peratus.
“Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.95 seliter berbanding RM2.15 seliter pada November 2023 (Oktober 2024: RM2.95), bagaimanapun, purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
“Harga runcit petrol tanpa plumbum RON97 pada November 2024 adalah pada RM3.19 seliter berbanding RM3.47 seliter pada November 2023 (Oktober 2024: RM3.19),” katanya.
Mohd Uzir berkata inflasi di Malaysia lebih rendah berbanding beberapa negara Asia yang lain seperti Vietnam (2.8 peratus) dan Filipina (2.5 peratus).