20 DIS: Kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah penjimatan perbelanjaan bagi menampung kos mengurus negara yang semakin meningkat.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu memastikan wang diurus dengan cekap dan tidak membelanjakannya kepada perkara tidak perlu.
Anwar berkata dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, kepimpinan beliau berada dalam kerangka yang benar bagi menjamin tatakelola negara yang baik.
“Untuk tahun depan ini gaji naik. Seluruh negara RM10 bilion yang perlu dibayar. Nak cari di mana? Sebab itu kita kena jaga dan cermat kerana ini wang rakyat.
“Jangan bagi orang curi. Jangan ada amalan-amalan ambil komisen, ambil rasuah, beli harta di Vancouver (Kanada) dan New York, kemudian bila balik dia bercakap soal perjuangan.
“Dari kerangka awal, saya tekankan yang perlu kita betulkan itu adalah pimpinannya, dari segi akhlak dan adab kalangan pemimpin itu diperlukan untuk atur negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Lawatan Mahabbah dan Kenduri Rakyat di Pusat Pengajian At-Taiyibin Tanah Hitam, Chemor, Perak pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Penaung Pusat Pengajian At-Taiyibin, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Tanah Hitam, Chemor, Perak.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata ia merupakan tambahan dana yang dikumpul oleh penduduk kawasan itu bagi membina pusat pengajian tersebut.
Beliau turut memuji usaha penduduk setempat dalam usaha membangunkan pusat pengajian tersebut dan menganggap ia sangat bermakna kerana tidak bergantung kepada sumbangan kerajaan semata-mata.
“Ini satu perkara yang sangat membanggakan kerana ilmu fadilat kepada seluruh Muslim dan Muslimat dan matlamat kita itu sebenarnya hendak didik masyarakat, angkat martabatnya dan beri kefahaman.
“Saya ingat dalam tradisi Islam ini sukar disaingi,bina masjid itu pun menjadi tanggungjawab semua. Sesetengah orang dia salah faham ingat semua duit dari segi peruntukan kerajaan tetapi mesti ada paling kurang RM1 saham dia untuk membina masjid,” katanya.
*Foto: Facebook Ahli Parlimen Tambun – Anwar Ibrahim