20 DIS : Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial diterbitkan hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata kod tatalaku itu dibangunkan bagi menyokong kerangka kelesenan untuk penyedia platform terbabit.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, kod tatalaku itu menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai penyedia platform berkenaan dalam menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan.
Selain itu kata MCMC, kod tatalaku itu juga bagi memastikan keselamatan dalam talian terutama untuk kanak-kanak dan golongan rentan diutamakan penyedia perkhidmatan.
MCMC juga akan memberi panduan dalam penerapan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) itu untuk memastikan keberkesanannya bagi mengekalkan persekitaran dalam talian yang selamat.
Kod tatalaku itu juga akan disemak dari semasa ke semasa mengikut keperluan untuk memastikan ia kekal relevan dan berkesan dalam menangani cabaran semasa, kata MCMC.
Dalam pada itu, MCMC berkata pihaknya menghargai maklum balas yang diterima sepanjang proses rundingan awam berjalan.
Menurut MCMC, Maklum balas pihak awam itu membantu dalam memastikan kod tatalaku itu kelak mampu menangani cabaran yang sentiasa berkembang dalam persekitaran dalam talian sambil mewujudkan ruang lebih selamat serta terjamin untuk semua rakyat Malaysia.
Maklumat lanjut dan akses kepada Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) boleh diperoleh melalui https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/Resources/MCMC CO de-of-Conduct-Best-Practice-for-Service-Providers.pdf.