20 DIS : Kerajaan hanya menanggung semua keperluan termasuk kos perjalanan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata tiada sebarang perbincangan lain berkait elaun kepada peserta program dibuat setakat ini.
“Setakat ini, kita tidak bercadang untuk memperkenalkan model elaun, kita lebih banyak memperkenalkan model untuk menanggung semua keperluan peserta.
“Buat masa ni (elaun) kita tak ada putuskan lagi, yang diputuskan adalah untuk beri mereka tanggungan perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan zakat Pertubuhan Akademi Al Bayan di Bukit Senggeh, Jasin, hari ini.
Terdahulu, dilaporkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Keselamatan membentangkan laporan berkaitan PLKN 3.0 itu termasuk mengesyorkan kadar elaun peserta dinaikkan RM50 sehari.
Syor itu susulan jawatankuasa itu berpendapata kadar elaun RM8 sehari sebagai tidak mencukupi dan terlalu rendah sambil meminta kerajaan mempertimbangkan soal peningkatan kos sara hidup selain sebagai insentif bagi peserta menyertai PLKN 3.0.
Isnin lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut membuat penegasan sama bahawa tiada elaun diberikan kepada peserta PLKN 3.0 yang akan bermula 12 Januari ini.
Jelas Mohamed Khaled, selain kos pengangkutan, kerajaan membelanjakan RM64 sehari bagi setiap peserta untuk menampung kos makan dan minum, penginapan dan keperluan lain sepanjang tempoh latihan itu.
Pelaksanaan PLKN 3.0 bermula 12 Januari hingga 25 Februari depan merupakan latihan percubaan melibatkan 200 peserta yang terdiri daripada 148 lelaki dan 52 perempuan sebelum diperluas kepada fasa seterusnya, Jun depan.