Prabowo seru perasuah pulang harta curi
20 DIS : Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyeru perasuah di republik itu segera memulangkan kembali harta yang dicuri.
Beliau yang bertekad membanteras rasuah itu dalam rangka melancarkan rancangan mendapatkan kembali harta yang diperoleh secara haram.
“Kepada perasuah, atau mereka yang rasa kamu sudah mencuri dari rakyat, jika kamu mengembalikan apa yang kamu curi, kami mungkin akan memaafkan kamu. Tetapi tolong kembalikan,” kata Prabowo, lapor Reuters.
Beliau berkata demikian di hadapan ratusan pelajar universiti Indonesia di Kaherah dalam lawatannya ke Mesir, kelmarin.
Tidak mendedahkan perincian rancangannya itu, namun Prabowo berkata kerajaan Indonesia ada cara untuk mendapatkan harta-harta itu kembali.
Beliau yang memegang tampuk pemerintahan sejak 20 Oktober lalu berikrar untuk memerangi rasuah.
Idea Prabowo dilontarkan selepas keputusannya minggu lalu mengampunkan kira-kira 44,000 banduan iaitu sekitar 30 peratus daripada jumlah banduan.
Ini termasuk penjenayah dadah hingga aktivis yang disabitkan dengan fitnah serta mereka dipenjarakan di wilayah Papua yang bergolak kerana mengkritik kerajaan.
*Foto: Facebook Prabowo Subianto