21 DIS : Hubungan antara parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan berada pada tahap terbaik demi menjaga perpaduan dan kesejahteraan negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata keutuhan parti komponen Kerajaan Perpaduan dijaga demi memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat dan negara.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut memuji usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi ‘jambatan’ dalam mewujudkan persefahaman politik antara pemimpin di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Secara umumnya hubungannya sangat baik meskipun sering kali ada persefahaman dan sekiranya ada perkara yang perlu diteliti kita akan bincang dengan lebih menyeluruh.
“Perdana menteri (Anwar) seorang pembina konsensus, malah dari dulu pun beliau seorang penyedia jambatan persefahaman politik.
“Kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim juga lah suatu ketika dahulu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) boleh bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Podcast Edisi Khas Buletin TV3 yang disiarkan di platform Facebook dan Youtube Buletin TV3, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi menambah kemampuan Kerajaan Perpaduan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat hari ini didorong semangat dan perpaduan yang dibawa oleh Anwar.
Fahmi berkata beliau juga menerapkan gaya kepimpinannya dengan berpandukan Maqasid Syariah serta Fiqh Al-Awlawiyyat.
“Kita saling memahami dan saya cuba meletakkan Maqasid atau Fiqh Al-Awlawiyyat dalam kepimpinan, yang mana perkara yang diutamakan itu adalah kemaslahatan umum, kebaikan untuk negara serta kestabilan,” katanya.
Maqasid Syariah membawa maksud mewujudkan kebaikan atau memberi manfaat, serta menolak keburukan dan menghilangkan kemudaratan.
Manakala Fiqh Al-Awlawiyyat pula bermaksud keutamaan dalam melakukan sesuatu.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan kerajaan sedang memberi fokus dalam memperbaiki keadaan ekonomi serta menstabilkan mata wang Ringgit, selain berusaha menarik pelaburan masuk ke dalam negara.