21 DIS : Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengarahkan Universiti Malaya (UM) menjalankan siasatan segera berhubung dua dakwaan gangguan seksual yang tular.
Zambry berkata UM diarahkan agar tidak mengambil ringan dakwaan itu bagi memastikan keadilan terjamin.
Pada masa sama, Zambry berkata kementerian tidak akan sama sekali bertolak ansur dengan salah laku yang bertentangan undang-undang negara.
“Saya juga telah mendapat maklum balas daripada Naib Canselor UM tentang langkah-langkah yang telah mereka lakukan termasuk (yang) melibatkan semua aspek perundangan. Saya juga dimaklumkan profesor yang dituduh itu juga telah membuat laporan polis.
“Maka untuk berlaku adil, biar kita serahkan kepada pihak berkuasa khususnya polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa meninggalkan sedikitpun kesan atau aspek yang boleh melemahkan siasatan. Harap semua pihak berikan kewajaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Zambry Naib Canselor UM memaklumkan sudah mengambil tindakan yang perlu sejak hari pertama aduan diterima termasuk oleh Unit Integriti UM.
Sementara bagi dakwaan alumni semalam yang menyebut seorang daripada lima penuntut universiti itu pernah mengalami gangguan seksual, Zambry berkata arahan untuk mengambil tindakan segera juga dikeluarkan kepada UM kerana ia perkara serius.
“Jika dakwaan itu benar, maka UM kena mengambil tindakan segera untuk memulihkan imej universiti.
“Tetapi, dalam masa sama, jika laporan dikeluarkan tidak menggambarkan atau tersasar atau tidak benar, maka UM juga perlu ambil langkah seterusnya bagi memelihara nama baik UM, kerana ini secara langsung mencemarkan nama baik universiti di mata masyarakat,” katanya.