21 DIS : Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bukanlah syarikat milik Semenanjung semata-mata sebaliknya ia milik negara seperti yang termaktub di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada kompromi berhubung perkara itu meskipun terdapat permintaan daripada Sarawak ke atas hak milik minyak di wilayah tersebut.
Katanya, PETRONAS mempunyai hak milik ke atas semua hasil minyak dan gas di seluruh negara seperti mana yang termaktub di dalam akta tersebut.
“PETRONAS adalah sebuah syarikat nasional, bukan syarikat Semenanjung. Saya ingin menjelaskan perkara ini kepada anda dengan sangat jelas. Tiada kompromi dalam hal ini.
“Tidak kira apa pun tuntutannya. Jika anda terima itu, maka negara atau negeri kini yang mahu memastikan bahawa mereka menegaskan kedudukan mereka untuk melindungi kepentingan, terutamanya Sabah dan Sarawak, kerana kami juga terikat dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri di Subang Jaya, Selangor, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata PETRONAS perlu diiktiraf sebagai entiti nasional termasuk menghormati semua obligasi kontrak tanpa kompromi.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Sarawak memutuskan Syarikat Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di negeri itu bermula 1 Julai lalu.
Namun PETRONAS meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.
Dalam perkembangan lain, Anwar menegaskan naratif pemprofilan perkauman dalam isu pemberian bantuan dan usaha pembasmian kemiskinan tegar di negara ini perlu dihentikan segera.
Jelas beliau, pemberian bantuan dilakukan tanpa sebarang diskriminasi kaum dalam usaha menangani kemiskinan tegar dan ia merupakan dasar kerajaan yang jelas.
“Sebab itu, saya sangat tidak setuju dengan ’racial profiling’ (pemprofilan perkauman). Jika anda lihat dasar saya sejak dulu, ketika saya di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), saya menentang Dasar Ekonomi Baru dari sudut penekanan ‘racial profiling’,”katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan berhubung peruntukan tambahan RM130 juta untuk masyarakat India yang didakwa tidak mencukupi.
Jelas beliau, peruntukkan tersebut hanya sebahagian daripada bantuan untuk kaum tersebut dan ia merangkumu beberapa inisiatif di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Susulan itu, Anwar berkata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan juga sudah diberikan arahan bagi menambah lebih banyak inisiatif di bawah kementerian itu bagi komuniti India.
Sementara itu, Anwar memaklumkan pesara dan penerima pencen terbitan akan terus menerima Pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjaga kebajikan mereka.
Menurutnya, ia juga bagi memastikan mereka menerima amaun yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup masa kini.
“Kerajaan melalui keputusan jemaah menteri pada 20 Disember, bersetuju untuk meneruskan pemberian PKKP bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang menikmati PKKP.
“Pemberian PKKP ini adalah kesinambungan daripada bantuan yang mula diberikan pada Julai 2023 dan ia adalah bukti keprihatinan Kerajaan MADANI selaras dengan konsep Ihsan,” katanya.
Beliau berkata bermula 1 Disember sehingga 1 Januari 2026, amaun pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026.
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember lalu turut membabitkan penyelarasan pencen kepada pesara dan penerima pencen terbitan berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).