21 DIS : Perdana Menteri menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mendakwa Kerajaan Perpaduan gagal melaksanakan pemisahan kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses pemisahan kedua-dua entiti tersebut bukan perkara mudah kerana ia memerlukan pindaan utama termasuk Perlembagaan.
Justeri itu katanya, agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan itu tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.
Tegas beliau, kerajaan sentiasa berusaha merealisasikan pengasingan kuasa tersebut bagi memperbaiki integriti institusi kehakiman Malaysia.
Menurutnya, laporan interim berhubung dapatan kajian empirikal mengenai pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bakal dibentangkan pada pertengahan 2025.
“Cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, menteri pun sudah dipertanggungjawabkan, taskforce (pasukan petugas) pun sudah ditubuhkan.
“Kabinet sudah pun meluluskan Kertas Dasar berhubung cadangan itu dan saya berharap laporannya akan dibentangkan pertengahan tahun depan,” katanya dalam satu sidang media khas, di Subang Jaya, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ada beberapa idea diusulkan jemaah menteri pada mesyuarat Kabinet semalam, antaranya melibatkan penambahbaikan dalam pengambilan tindakan terhadap kes tertentu.
“Melalui mesyuarat Kabinet semalam, ada menteri kata untuk diadakan ‘retreat’ pada Januari bagi membuat penilaian kekuatan dan kelemahan kita…ada juga kritikan termasuk isu penangkapan, isu polis dan rasuah.
“Ada yang melahirkan pendapat bagi kes berat…kalau tidak panggil (tindakan) tidak boleh contohnya panggil pemimpin dajal, panggil ketua polis pelacur,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim