23 DIS : Malaysia dan Bahrain meneruskan komitmen pengukuhan kerjasama dalam pelbagai sektor sempena ulang tahun hubungan diplomatik ke-50.
Kementerian Luar kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama berjanji akan memanfaatkan platform sedia untuk memperdalam kerjasama, meneroka peluang baharu, menggalakkan inovasi dan menangani cabaran global yang kian muncul.
“Ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik ini merupakan pencapaian bersejarah bagi Bahrain dan Malaysia, sekali gus memberi peluang untuk menzahirkan semula kebanggaan bersama dalam pertumbuhan perkongsian politik, ekonomi serta kerjasama.
“Kedua-dua negara bertekad memperluas hubungan ini demi membawa kemakmuran lebih besar kepada rakyat masing-masing dan memperkukuh peranan penting mereka dalam mempromosikan keselamatan, keamanan serta pembangunan mampan pada peringkat serantau dan antarabangsa.
“Melangkah ke hadapan, Bahrain dan Malaysia komited memperdalam kerjasama dua hala mereka merentasi semua bidang kepentingan bersama untuk membina masa depan lebih makmur dan berdaya tahan, seterusnya menyumbang kepada kestabilan serta pembangunan kedua-dua negara serta rantau yang lebih luas. Mereka turut berharap agar hubungan erat dan kerjasama yang berkesan ini akan terus berlanjutan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Malaysia dan Bahrain juga akan terus memperkukuh kerjasama melalui pelaksanaan perjanjian serta memorandum persefahaman yang ditandatangani bagi kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, teknikal, kebudayaan dan saintifik.
“Selain itu, kedua-dua negara terus memajukan aspirasi bersama untuk perkongsian lebih mendalam antara lain dalam tenaga, perbankan dan kewangan Islam, pembuatan, pengangkutan, pembuatan produk halal, keselamatan makanan, hab logistik, teknologi maklumat dan komunikasi, pelancongan, kebudayaan dan pendidikan, alam sekitar, serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Pada masa sama, Bahrain dan Malaysia mengiktiraf kemajuan signifikan yang dicapai dalam sektor politik, ekonomi, kebudayaan serta sosial di bawah kepimpinan Raja Hamad Isa Al Khalifa dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Malaysia dan Bahrain juga komited memperkukuhkan kerjasama multilateral antarabangsa melalui peranan aktif mereka dalam organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pengukuhan hubungan Malaysia-Bahrain dicerminkan melalui beberapa perkembangan utama, termasuk penubuhan Jawatankuasa Tinggi Bersama bagi Kerjasama Dua Hala pada 2001, diikuti pembukaan Kedutaan Besar Malaysia di Manama pada 2003, mesyuarat rasmi pertama jawatankuasa itu pada 2013 dan pembukaan Kedutaan Bahrain di Kuala Lumpur pada 2017.