23 DIS : Pengaruh dan sokongan Barisan Nasional (BN) perlu diperkukuh di peringkat akar umbi untuk terus kekal relevan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata perkara pokok itu perlu dilaksanakan BN sebelum bergantung harap kepada pihak lain untuk bangkit.
Katanya, perpaduan dalaman BN perlu kukuh bagi memastikan kestabilan gabungan itu.
“Sebagai parti komponen BN, Pemuda MCA berpendapat adalah lebih baik sekiranya aspek kesetiaan kepada parti dan perpaduan itu dibuat di peringkat dalaman BN terlebih dahulu bagi memastikan kestabilan serta kelangsungan parti kekal relevan dalam politik negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu katanya, BN juga perlu tegas memastikan identiti parti jelas dan dihormati untuk memberi kekuatan dalam sebarang bentuk kerjasama politik.
“Politik yang dinamik dan sering berubah ini menuntut kita supaya jangan terlalu bergantung harap kepada pihak lain untuk memenangi PRU akan datang, sedangkan kita sendiri tidak berusaha untuk memantap dan memperkukuhkan parti,” katanya.
Pada Ahad, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan UMNO dan BN akan terus memberi komitmen untuk bersama Kerajaan Perpaduan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga PRU16.
“Saya ingin menyatakan kerjasama UMNO dan BN dengan Kerajaan Perpaduan adalah sehingga PRU16. Oleh yang demikian bagi menyantuni rakyat dan mewujudkan kerajaan yang stabil, sila dengar pendapat-pendapat daripada menteri-menteri yang mewakili BN,” katanya.