23 DIS: Rating penerimaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tahun kedua meningkat kepada 54 peratus berbanding 50 peratus pada tahun lalu.
Menerusi tinjauan Merdeka Centre, rating penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan juga turut meningkat daripada 46 peratus kepada 51 peratus pada tahun ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Merdeka Centre hari ini, pengundi bepuas hati dengan prestasi perdana menteri dalam beberapa aspek.
Katanya, antara prestasi berkenaan seperti menarik pelaburan, meningkatkan imej negara serta meningkatkan perkhidmatan awam.
“Namun pengundi memberikan penilaian bercampur-campur apabila ditanya mengenai usaha memperkukuh ekonomi,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, tinjauan berkenaan menyatakan terdapat 47 peratus pengundi awam tidak berpuas hati terhadap Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, undian berkenaan didorong oleh kebimbangan berterusan mengenai tekanan kos sara hidup, selain kebimbangan mengenai pemotongan subsidi yang bakal berlaku pada masa akan datang.
“Sentimen pengundi kekal tertumpu kepada isu ekonomi, di mana 65 peratus menyatakan ia sebagai masalah nombor satu dihadapi rakyat ketika ini, namun jumlah tersebut menurun berbanding tahun lalu yang mencatatkan 74 peratus.
“Sebanyak 53 peratus berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah berbanding 54 peratus setahun lalu, sementara bilangan pengundi yang berpendapat negara menuju ke arah yang betul meningkat sedikit pada 39 peratus berbanding 36 peratus pada November 2023.
“Sebab utama arah yang salah ialah isu ekonomi 47 peratus, ketidakstabilan politik tujuh peratusdan pentadbiran yang lemah, lapan peratus,” katanya.
Tinjauan Merdeka Center dijalankan bagi tujuan mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.
Bermula pada 27 November hingga 10 Oktober lalu, ia melibatkan 1,207 pengundi berdaftar terdiri daripada 52 peratus Melayu; Cina 29 peratus; India tujuh peratus; dan Bumiputera Islam dan bukan Islam di Sabah dan Sarawak masing-masing enam peratus yang ditemubual menerusi talian tetap dan telefon mudah alih.