23 DIS : Kementerian Kerja Raya (KKR) mengagihkan projek berjumlah RM15.09 bilion kepada kontraktor Bumiputera gred pendaftaran G7 ke G1 setakat suku ketiga 2024.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata nilai tersebut hampir menyamai nilai projek yang diagihkan kepada golongan itu pada tahun lepas iaitu RM15.10 bilion.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM225 juta dianugerahkan kepada 1,631 syarikat Bumiputera G1 tahun ini berbanding RM333 juta yang diterima oleh 1,585 syarikat G1 pada 2023.
“Ini menunjukkan peningkatan dalam penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek-projek lebuh raya, yang mencerminkan kemampuan dan komitmen mereka dalam menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Matchmaking Persatuan Kontraktor Bumiputera Bersama Syarikat Konsesi Lebuh Raya di bangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Bangi, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir; Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun; Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.
Ahmad Maslan berkata program matchmaking yang dianjurkan KKR hari ini bertujuan bagi meningkatkan penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek berkaitan lebuh raya pada masa akan datang.
Selain itu, katanya ia juga bertujuan bagi meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera.