24 DIS : Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Dalam satu kenyataan, PNB memaklumkan jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit dengan bonus 0.25 sen seunit.
Agihan pendapatan itu melibatkan RM10.1 bilion yang akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata agihan dividen itu merupakan yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun.
“Ini menunjukkan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.
“Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023.
“Prestasi ASB yang lebih baik ini adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan Ringgit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Raja Arshad, meski di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif.
“Disokong permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif MADANI kerajaan, termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP),” katanya.