24 DIS : Kerajaan perlu mempunyai kapasiti digital yang lebih maju untuk menangani peningkatan jenayah seksual dan pengantunan seksual terhadap kanak-kanak secara dalam talian di negara ini.
Demikian pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said susulan kejayaan pihak berkuasa menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melalui aktiviti dalam talian.
Dalam Op Pedo bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), semalam, dianggarkan sekitar 40,000 Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) dan bahan pornografi dewasa ditemui.
“Syabas dan terima kasih kepada PDRM dan pihak-pihak terlibat dlm Ops Pedo yang berjaya menumpaskan kegiatan seksual serta antun seksual terhadap kanak-kanak dalam talian. Kerajaan perlu mempunyai kapasiti digital yang lebih maju untuk menangani peningkatan jenayah sebegini.
“Semua kapasiti agensi yang berkaitan mesti dikemas kini dan dinaik taraf bagi tujuan ini. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan MADANI telah bawa beberapa pindaan kepada akta berkaitan komunikasi dan bentang Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang akan dapat bantu pihak berkuasa untuk kekang jenayah jelik ini,” katanya dalam satu hantaran di platform X, hari ini.
Terdahulu polis mengesahkan menahan 13 lelaki tempatan yang disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata seramai 13 orang warga lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 74 tahun berjaya ditahan di enam buah negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.