24 DIS : Rakyat Malaysia diingatkan agar mengelakkan daripada terlibat dalam sebarang usaha menanam bibit dan gejala yang boleh memicu pertentangan kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hidup dalam negara yang pelbagai kaum serta budaya, hakikatnya kita saling memerlukan dan melengkapi.
“Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Disember saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
“Sebagai negara yang beragam dan rencam ras serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti ini terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan di kalangan kaum di Malaysia.
“Justeru, sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum mesti dielakkan kerana ternyata kita saling memerlu serta melengkapi terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Pesannya, Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok, malah mesti dilonjak nilai dan prinsip keadilan sejagat agar menyemangati hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan dan maruah bangsa.
“Sering saya tekankan betapa perbedaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan ucapan sempena sambutan perayaan Krismas yang bakal tiba esok.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian, dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan,” katanya.