25 DIS : Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKMCR UA) menafikan dakwaan kononnya wujud ‘pintu belakang’ untuk kemasukan pelajar ke universiti awam (UA).
Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata pengambilan pelajar ke UA dibuat secara telus melalui sistem tapisan dan saringan ketat serta berdasarkan kriteria ditetapkan.
Katanya, dakwaan tersebut hanya mahu mengelirukan masyarakat dan menimbulkan kontroversi serta mencerminkan sifat tidak bertanggungjawab pihak tertentu.
“Kenyataan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Haim Hilman Abdullah, menampakkan kejahilan beliau terhadap proses kemasukan pelajar ke UA di Malaysia.
“Pengambilan pelajar ke UA dibuat secara telus melalui sistem tapisan dan saringan ketat serta berdasarkan kriteria ditetapkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Haim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra pada Sabtu dilaporkan mendakwa kemasukan pelajar ke universiti melalui ‘saluran terbuka’ menafikan hak anak-anak golongan miskin menerusi ucapannya dalam ceramah perdana dipercayai diadakan di Ayer Molek, Melaka.
Mengulas lanjut, Ekhwan berkata tidak wujud isu pengambilan kuota pelajar miskin untuk tujuan penjanaan pendapatan.
Katanya, pengambilan pelajar adalah mengikut kaedah ‘over and above’ iaitu kuota arus perdana dipenuhkan dahulu sebelum proses pengambilan dibuka semula kepada calon yang membuat rayuan.
“Pihak berkenaan ternyata berpura-pura alpa mengenai prosedur kemasukan pelajar UA yang mempunyai dua saluran berbeza.
“Saluran perdana dibuka dengan subsidi kerajaan manakala saluran komersial dibuka tanpa subsidi kerajaan.
“Saluran perdana mengambil sebahagian besar pelajar B40 manakala saluran komersial mengambil pelajar dalam kalangan keluarga T20 dan antarabangsa,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan pengambilan pelajar antarabangsa menggunakan kuota pelajar tempatan, Ekhwan berkata ia merupakan fitnah yang besar.
Tegasnya, pihaknya tidak berkompromi tentang kriteria kemasukan, lebih-lebih lagi Malaysia merupakan hab pendidikan tinggi diiktiraf oleh banyak negara dan menjadi pilihan pelajar luar negara.
Selain itu, katanya,kemudahan yang disediakan pihak UA diguna secara sama rata oleh semua pelajar, termasuk daripada saluran perdana.
Jelas Ikhwan,hal ini kerana pembangunan fasiliti pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan penginapan pelajar di universiti dilakukan dengan menggunakan wang yuran yang dibuat melalui saluran komersial.
“Mengaitkan saluran komersial dengan ‘perampasan’ tempat B40 menggambarkan kecelaruan dalam kefahaman terhadap tujuan diwujudkan saluran komersial.
“Tidak mungkin beliau yang juga bekas Naib Canselor UUM tidak memahami tujuan saluran komersial dan bagaimana ia dilaksanakan sedangkan saluran terbuka atau komersial wujud di UUM ketika beliau menjawat jawatan berkenaan,” katanya.