26 DIS : Kedutaan Azerbaijan di Malaysia membuka nota takziah untuk ditandatangani orang awam sebagai tanda menghormati mangsa nahas pesawat Azerbaijan Airlines.
Dalam satu kenyataan, Kedutaan Azerbaijan berkata ucapan takziah juga boleh disampaikan melalui e-mel.
“Nota takziah boleh ditandatangani di kedutaan yang terletak di Lot 589, Jalan 6, Taman Ampang Utama, Selangor mengikut jadual berikut: Khamis (26 Disember) dari jam 2 petang hingga 5.30 petang, dan Jumaat (27 Disember) dari 10 pagi hingga 1 tengah hari dan 2 petang hingga 5.30 petang.
“Ucapan takziah juga boleh disampaikan secara bertulis melalui e-mel kepada kedutaan di kualalumpur@mission.mfa.gov.az,” kata kenyataan itu.
Semalam, 38 nyawa dilaporkan terkorban apabila pesawat Embraer 190 yang dalam penerbangan dari Baku ke Grozny itu cuba melakukan pendaratan cemas.
Azerbaijan Airlines yang dilaporkan mendakwa nahas itu akibat dilanggar sekumpulan burung kemudiannya menarik balik kenyataan itu .
Timbul pula pertikaian selepas rakaman video orang awam pada badan pesawat itu yang dimuat naik menunjukkan kesan lubang didakwa akibat peluru.
Pesawat dengan nombor penerbangan J2-8243 itu dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Aktau di Kazakhstan ketika membuat pendaratan cemas susulan cuaca yang buruk.
Azerbaijan Airlines mengesahkan pesawat itu membawa 67 individu termasuk 62 penumpang dan lima anak kapal dimana 37 warga Azerbaijan, 16 warga Rusia, enam warga Kazakhstan dan tiga warga Kyrgyzstan.
Kesemua 29 penumpang yang terselamat dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Kerajaan Azerbaijan kemudiannya mengisytiharkan tarikh 26 Disember sebagai hari berkabung kebangsaan.