26 DIS : Sembilan jajahan di Kelantan diramal banjir Ahad ini namun ia berkemungkinan berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan itu.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam satu kenyataan berkata jajahan itu melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
“Di jajahan Tumpat, banjir dijangka melibatkan lembangan Sungai (Sg) Golok, Sungai Kelantan, dan Sungai Pengkalan Nangka. Sementara di Pasir Mas, ia membabitkan lembangan Sg Golok dan lembangan Sg Kelantan.
“Di Kota Bharu pula ia membabitkan tiga lembangan sungai iaitu lembangan Sg Kelantan, lembangan Sg Pengkalan Datu dan lembangan Sg Semerak. Selain itu, di Pasir Puteh ia melibatkan lembangan Sg Kelantan dan lembangan Sg Semerak
“Jajahan Bachok banjir dijangka melibatkan lembangan Sg Kemasin dan lembangan Sg Semerak, manakala di Tanah Merah, ia melibatkan lembangan Sg Golok dan lembangan Sg Kelantan dan Kuala Krai banjir dijangka melibatkan lembangan Sg Kelantan sementara di Jeli, ia melibatkan lembangan Sg Golok dan lembangan Sg Kelantan,” kata JPS.
Menurut JPS juga, pihaknya akan memantau secara berterusan keadaan tersebut dan mengemas kini hebahan amaran banjir.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa bahagian di Sabah selama tiga hari mulai Sabtu ini.
Cuaca sama dijangka melanda Kelantan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh selama tiga hari bermula 29 Disember ini.
Turut diramal mengalami cuaca sama adalah seluruh negeri Terengganu.