26 DIS : Kerajaan akan menuntut semula ganti rugi nilai bekalan bersubsidi diseleweng daripada pesalah sindiket penyeludupan bermula tahun depan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata langkah tersebut bagi menangani kerugian yang ditanggung negara.
Selain itu, katanya ia antara langkah penambahbaikan bagi memperkasakan Ops Tiris yang dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, baru-baru ini.
“Antara tumpuan penguatkuasaan kita tahun hadapan ialah hukuman lebih tegas dan keras, mereka yang terbabit dalam penyelewengan akan digantung lesen dan kami akan batalkan lesen mereka.
“Kedua, kemungkinan besar kes membabitkan ‘recovery‘ (tuntutan) balik contohnya kerugian dialami kerajaan, kita ada agensi seperti pihak LHDN, SPRM dan NFCC, kita akan bekerjasama mendapatkan kembali nilai kerugian itu,” katanya pada temu bual bersama BH dan TV3, baru-baru ini.
Azman berkata inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Dalam pada itu, Azman berkata penambaikan di dalam Ops Tiris merupakan antara usaha pihaknya bagi membantu menyelamatkan ketirisan wang negara.
Tegasnya, inisiatif ini juga bagi memastikan subsidi dapat disasar kepada golongan yang benar-benar layak dan memerlukan.