26 DIS: Hari ini genap 20 tahun tragedi Tsunami Lautan Hindi yang dianggap antara terburuk dalam sejarah.
Gempa bumi yang berlaku pada 26 Disember 2004 pada magnitud 9.3 itu mengakibatkan keretakan garis belahan terbesar pernah direkodkan sehingga menyebabkan ‘ombak gergasi’ yang membunuh lebih 220,000 orang di 14 negara termasuk Malaysia.
Rakyat Malaysia yang mengalami situasi itu pasti mengingati bagaimana ombak tsunami menyerang pantai-pantai Pulau Pinang dan selatan Kedah hingga mengakibatkan 68 jiwa terkorban.
Sementara itu, Indonesia dilaporkan paling buruk terjejas dengan lebih 200,000 orang terbunuh dan ramai dilaporkan hilang.
Bencana itu dilaporkan meragut sekitar 130,000 hingga 160,000 nyawa daripada keseluruhan 320,000 populasi penduduk di Aceh.
Ketika tsunami melanda wilayah Aceh, gelombang tsunami yang mempunyai kelajuan 800 kilometer per jam itu turut melanda negara Thailand sejam setengah selepas gempa membadai wilayah Phang Nga dan Phuket.
Mangsa korban di Thailand mencecah 5,400 nyawa termasuk 2,000 pelancong asing.
Selain itu, tsunami turut melanda kawasan Laut Hindi dan menjejaskan Sri Lanka serta mengakibatkan 35,000 orang terkorban.
Ia juga dilaporkan merentas sehingga ke kawasan pantai timur Afrika yang merupakan tempat paling jauh dari titik gempa yang menerima kesan bencana tsunami itu.
Bencana tersebut turut mengorbankan 300 nyawa di Somalia serta lebih 100 orang di Maldives.
Bagi memperingati peristiwa memilukan itu, seluruh Asia mengadakan memorial dan upacara keagamaan yang diadakan pada hari ini.
Di bandar Banda Aceh, Indonesia mengadakan satu majlis rasmi di Masjid Raya Baiturrahman pada jam 8 pagi.
Pada majlis itu,siren amaran tsunami (Tsunami Early Warning System – EWS) dibunyikan selama tiga minit bagi memperingati bencana dua dekad lalu.
Ketika siren dibunyikan, warga Aceh urut berdiri selama tiga minit bertafakur mengingati mangsa tsunami.
Sementara itu di Thailand, sebuah hotel di wilayah Phang Nga mengadakan pameran tsunami, tayangan dokumentari dan pengenalan oleh badan kerajaan dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kesiapsiagaan bencana dan langkah-langkah ketahanan.
Satu upacara keagamaan ringkas turut diadakan bersama keluarga mangsa dan upacara Buddha, Hindu, Kristian dan Islam turut dianjurkan untuk memperingati mangsa di seluruh negara.
Di Sri Lanka, mangsa yang terselamat dan saudara-mara berkumpul untuk mengingati kira-kira 1,000 mangsa yang maut akibat ombak kuat yang menyebabkan gerabak kereta api penumpang terbabas daripada landasan.
Difahamkan, mereka yang berkabung akan menaiki Ocean Queen Express menuju ke Peraliya – tempat di mana gerabak kereta api tergelincir dari landasan, sekitar 90 kilometer (km) di selatan Colombo.