26 DIS : Nissan Motor Co Ltd (Nissan), Honda Motor Co Ltd (Honda) dan Mitsubishi Motors Corporation (Mitsubishi Motors) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam penubuhan sebuah syarikat pegangan bersama.
Menerusi satu kenyataan bersama, ketiga-tiga syarikat automotif Jepun itu mencapai persetujuan untuk meneroka kemungkinan pembabitan, penyertaan serta perkongsian sinergi berkaitan integrasi perniagaan menerusi kerangka kerja yang ditetapkan dalam MoU yang ditandatangani Nissan dan Honda pada 1 Ogos.
“Sinergi berkenaan akan memberi tumpuan kepada kerjasama strategik dalam bidang kepakaran dan elektrifikasi.
“Mitsubishi Motors turut serta dalam kerangka kerja ini dan berhasrat untuk mencapai keputusan mengenai penyertaannya dalam integrasi perniagaan antara Nissan dan Honda menjelang akhir Januari 2025,” katanya.
Pada masa sama, ketiga-tiga syarikat itu turut bersetuju untuk meneroka kemungkinan pencapaian sinergi pada tahap yang lebih tinggi melalui pembabitan Mitsubishi Motors dalam integrasi perniagaan ini.
Terdahulu, Honda dan Nissan mengumumkan rancangan untuk bergabung dan menubuhkan syarikat induk usaha sama baharu menjelang Ogos 2026.
Kedua-dua syarikat sudah memulakan perbincangan untuk mengintegrasikan perniagaan mereka di bawah syarikat induk baharu ini.
Dalam pada itu, Pengarah, Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pegawai Eksekutif Perwakilan Nissan, Makoto Uchida berkata Honda dan Nissan akan mengkaji pewujudan sinergi yang signifikan antara kedua-dua syarikat dalam pelbagai bidang dengan memulakan pertimbangan intergrasi perniagaan.
“Penting bahawa rakan kongsi Nissan, Mitsubishi Motors turut serta dalam perbincangan ini. Kami menjangkakan jika integrasi ini direalisasikan, kami akan dapat memberikan nilai yang lebih besar kepada kumpulan pelanggan yang lebih luas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah dan Pegawai Eksekutif Perwakilan Honda, Toshihiro Mibe berharap penyertaan Mitsubishi Motors dalam perbincangan integrasi perniagaan antara Nissan dan Honda akan membawa kepada perubahan sosial yang lebih besar.
“Nissan dan Honda akan memulakan perbincangan dengan tujuan untuk menjelaskan kemungkinan integrasi perniagaan menjelang akhir Januari, selaras dengan pertimbangan Mitsubishi Motors,” katanya sambil menambah pihaknya menyasarkan untuk menjadi syarikat terkemuka dalam mencipta nilai baharu dalam mobiliti melalui integrasi perniagaan.
Pengarah, Pegawai Eksekutif Perwakilan, dan Presiden serta CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato, berkata kajian antara Nissan dan Honda mengenai integrasi perniagaan akan mempercepatkan kesan maksimum sinergi serta memberikan nilai tinggi kepada pakatan perniagaan bersama Mitsubishi Motors.
Sehubungan itu,katanya Mitsubishi Motors akan mengkaji bentuk kerjasama terbaik bagi merealisasikan sinergi dan memanfaatkan kekuatan setiap syarikat secara maksimum.