26 DIS : Program Tarif Elektrik Hijau (GET) akan diteruskan dengan kadar premium dikekalkan bagi tahun 2025.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan tawaran kuota diberikan sekurang-kurangnya 6,600 Gigawatt jam (GWj) dengan kadar premium 10 sen per kilowatt jam (sen/kWj) untuk pengguna voltan rendah manakala 20 sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi.
Selain itu, katanya beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan bermula 2025 antaranya menyediakan pembukaan langganan jangka masa panjang bagi membolehkan pengguna membuat langganan GET sehingga tahun 2027.
“Penawaran baharu ini akan memberikan kepastian dalam perancangan langganan bekalan elektrik hijau oleh syarikat korporat dan industri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, PETRA memaklumkan pihaknya bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang meneliti semula pengoperasian serta prinsip asas langganan bagi mengekalkan keyakinan pengguna ke atas program GET.
Jelasnya, langkah tersebut penting bagi memberikan gambaran sebenar mengenai tenaga elektrik hijau yang tidak terdedah kepada pergerakan harga bahan api.
Sehubungan itu, PETRA berkata kerajaan memutuskan pengguna yang melanggan program tersebut pada tahun depan tidak akan dikenakan caj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) selaras tuntutan umum komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Langganan boleh dilakukan mulai 1 Mac 2025 melalui portal myTNB dan pengguna boleh melakukan ‘backdate subscription’ untuk tempoh bermula 1 Januari 2025.
“Bergantung kepada tempoh langganan, ‘lock in period’ langganan GET adalah sehingga 31 Disember. Pembaharuan langganan GET adalah secara automatik berdasarkan tempoh langganan asal selepas ‘lock in period’ tamat sekiranya tiada pemberhentian langganan dilakukan oleh pengguna,” katanya.
Selain itu, PETRA memaklumkan GET turut menawarkan opsyen baharu secara jangka panjang sehingga tahun 2027 dengan kadar premium lebih rendah.
Katanya, opsyen penamatan awal tempoh ‘locked-in’ pengguna GET disediakan bagi langganan tahunan dan langganan jangka masa panjang dengan kos penamatan sebanyak 2 sen/kWj akan dikenakan terhadap baki langganan GET yang tidak dihabiskan.
“Bagi tempoh dua dan tiga tahun, pengguna voltan rendah menikmati kadar premium masing-masing 9 sen/kWj dan 8 sen/kWj, manakala bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi, kadar premium pula adalah 19 sen/kWj untuk tempoh dua tahun dan 18 sen/kWj bagi tempoh tiga tahun.
“Pendapatan daripada pelaksanaan program ini akan digunakan untuk menyokong usaha peralihan tenaga negara terutamanya dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) seperti pelaksanaan Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS),” katanya.
Program GET merupakan antara inisiatif kerajaan dalam menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber TBB kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Program yang dikenalkan pada 2021 itu juga bagi mencapai hasrat TNB untuk mengurangkan jejak karbon.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang TNB bagi mengetahui perincian program GET.