27 DIS : Polis mengeluarkan 45,237 notis saman untuk pelbagai kesalahan selepas menjalankan pemeriksaan terhadap 235,616 kenderaan perdagangan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata antara Januari hingga November lalu, pihaknya menjalankan 5,747 Ops Kenderaan Perdagangan di seluruh negara.
Mengikut pecahan, 28,298 melibatkan saman untuk lori, 349 bagi bas manakala 16,590 bagi kenderaan pelbagai guna seperti van dan jip yang didaftarkan atas nama syarikat.
“Saman tertinggi melibatkan kesalahan tiada Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) sebanyak 10,859 notis diikuti menggunakan alat telekomunikasi ketika memandu (9,254), Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (8,380), tidak mematuhi lampu isyarat merah (3,676) dan lesen memandu telah tamat tempoh (2,179).
“Bagi kesalahan bawa muatan lebih had ditetapkan, kertas siasatan dibuka melibatkan 380 kenderaan manakala 154 lori, 106 kenderaan pelbagai guna dan satu bas telah disita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Daerah Seremban, hari ini.
Selain itu katanya, 45 pemandu kenderaan perdagangan turut ditahan di mana 12 daripadanya dituduh di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada lawatan itu, Mohd Yusri turut menganugerahkan sijil penghargaan kepada Kamarul Ekhsan Abdul Ghani, 46 yang tular sebelum ini selepas menahan sebuah lori yang mengalami kerosakan tayar bagi mengelakkan kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, baru-baru ini.