27 DIS : Angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di sekitar perairan negara mulai 29 Disember hingga 31 Disember ini, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
METMalaysia menjangka angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ombak hingga 3.5 meter melanda kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” kata METMalaysia dalam satu kenyataan, hari ini.
Jabatan itu turut meramalkan berlaku kenaikan paras air laut di kawasan perairan berkenaan bermula Ahad hingga Isnin dengan risiko limpahan air laut di pesisir pantai.
METMalaysia berkata, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter turut dijangka membadai kawasan perairan selatan Samui, Tioman, selatan Bunguran, tenggara Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan hingga Selasa.
Sementara di kawasan perairan Condore dan barat laut Reef North, angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dengan kelajuan melebihi 60 km/j dan ombak lebih 4.5 meter dijangka berlaku hingga Selasa.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata jabatan itu.
Amaran kategori kedua dikeluarkan bagi kawasan perairan utara Bunguran serta timur laut dan barat daya Reef North dengan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak hingga 4.5 meter.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” kata kenyataan itu.