27 DIS: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama bekas pemimpin Thailand, Thaksin Shinawatra pada Khamis berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Anwar berkata pertemuan bersama sahabat baiknya itu antara lain membincangkan beberapa perkara termasuk isu kritikal serantau yang memerlukan perhatian segera.
“Saya bertemu sahabat baik, Thaksin semalam dan mengadakan perbincangan panjang lebar terkait beberapa perkara penting termasuk peranan beliau selaku penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.
“Perbincangan kami seputar beberapa isu kritikal serantau, merangkumi usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, Anwar memaklumkan pelantikan Thaksin sebagai penasihat peribadi kepada beliau bagi membantu dalam peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.
Katanya, lantikan ini adalah melalui instrumen tidak rasmi untuk memanfaatkan pengalaman tokoh-tokoh dari negara-negara Asia Tenggara.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Thaksin dilihat mampu memainkan peranan serta berdepan cabaran-cabaran dengan penuh yakin serta berkesan menerusi kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimilikinya di rantau ini.
Selain itu, katanya pertemuan tersebut merupakan antara usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand selaras visi dan persefahaman yang dikongsi bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini.
“Insya-ALLAH, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,”katanya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan sepatutnya mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Isnin di Pulau Langkawi namun, ia dibatalkan kerana difahamkan Prabowo tidak sihat.
Malaysia akan mempengerusikan ASEAN bermula 1 Januari 2025, dengan fokus untuk memastikan Asia Tenggara terus menjadi rantau yang aman, stabil dan makmur.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.