27 DIS : Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengesahkan kerajaan belum membuat keputusan terhadap cadangan kenaikan tarif elektrik yang baharu.
Ketua Pegawai Kewangan (Divisyen Kewangan Kumpulan) TNB, Datuk Nazmi Othman berkata kadar baharu tarif elektrik itu dijangka diputuskan selewat-lewatnya pada Jun 2025.
Katanya, setakat ini, tiada perubahan kadar dan struktur tarif elektrik bagi jadual semasa yang dilaksanakan sejak 2014 itu.
“Pada masa ini, kerajaan sedang dalam proses kajian semula untuk memuktamadkan jadual tarif baharu.
“Dasar semasa masih kekal dengan 85 peratus pengguna domestik masih kekal dilindungi daripada sebarang perubahan tarif elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat bersama media berkenaan pelaksanaan Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), hari ini.
Semalam, TNB dilaporkan mengemukakan makluman kepada Bursa Malaysia mengenai cadang jadual tarif elektrik baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) bagi Semenanjung dilaksanakan mulai 1 Julai 2025.
Mengulas tentang makluman itu, Nazmi berkata perkara tersebut adalah bagi memenuhi keperluan mandatori berikutan kelulusan kerajaan melaksanakan RP4 di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) bagi tempoh Januari 2025 hingga Disember 2027.
Kata Nazmi, keputusan itu dimaklumkan melalui surat daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) kepada TNB bertarikh 24 Disember 2024.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan bertegas tidak akan membenarkan sebarang kenaikan tarif elektrik yang menjejaskan majoriti rakyat.
Katanya, penyasaran subsidi eletrik yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini hanya melibatkan golongan mahakaya atau industri yang mencatatkan keuntungan tinggi.
Anwar berkata beliau akan meminta penjelasan daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof serta Tenaga Nasional Berhad berhubung kenaikan tersebut.