27 DIS : Kerajaan tidak akan membenarkan sebarang kenaikan tarif elektrik sehingga menjejaskan majoriti rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyasaran subsidi eletrik yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini hanya melibatkan golongan mahakaya atau industri yang mencatatkan keuntungan tinggi.
Anwar berkata beliau akan meminta penjelasan daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof serta Tenaga Nasional Berhad berhubung kenaikan tersebut.
“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan sepertimana yang dahulu itu hanya melibatkan golongan atasan,saya sebut maha kaya atau industri mencatatkan keuntungan.
“Kebanyakan rakyat tidak terkesan dari segi kenaikan elektrik itu. Saya faham, kos meningkat tetapi kenaikan tidak boleh membabitkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Al-Hana, Kuah, Langkawi pada Jumaat.
Pada Khamis, TNB mencadangkan jadual tarif baru dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) untuk dilaksanakan bermula 1 Julai 2025.
Katanya, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024.
TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
“Jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014, akan terus berkuat kuasa, tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun, 2025,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim