27 DIS : Thailand secara rasmi akan menjadi negara rakan BRICS bermula 1 Januari 2025.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura pada Khamis berkata penerimaan jemputan menyertai negara rakan BRICS itu dimaklumkan kepada Rusia selaku pengerusi BRICS 2025.
Katanya, Thailand berhasrat untuk meningkatkan kerjasama dengan ahli BRICS untuk meningkatkan peluang ekonomi serta menonjolkan peranannya dalam memupuk kerjasama antara negara.
“Selain itu, penyertaan Thailand di dalam BRICKS bagi membangun dan menyokong sistem pelbagai hala yang memberi manfaat kepada lebih banyak negara.
“Penyertaan Thailand juga merupakan langkah penting ke arah keahlian pada masa hadapan,” katanya dalam satu sidang media, lapor Xinhua.
Pada 21 Jun, Thailand secara rasmi menghantar surat hasrat untuk menyertai organisasi BRICS.
Nikorndej berkata Thailand berharap menerima maklum balas positif dan diterima sebagai ahli BRICS sebaik sahaja sidang kemuncak BRICS seterusnya diadakan.
BRICS merupakan platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Russia, India dan China manakala Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.
Ditubuhkan pada 2009, BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, termasuk satu perlima perdagangan global dan mewakili sekitar 40 peratus penduduk dunia.
BRICS mula mengembangkan keahlian dengan penyertaan Arab Saudi, Iran, Ethiopia, Mesir, Argentina dan Emiriah Arab Bersatu dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan lebih daripada 40 negara menyatakan minat.
Pada Isnin, Rusia memaklumkan penyertaan Belarus, Bolivia, Indonesia, Kazakhstan, Thailand, Cuba, Uganda, Malaysia dan Uzbekistan secara rasmi menjadi rakan kongsi BRICS bermula 1 Januari 2025.
Selain itu, negara itu menjangkakan akan menerima maklum balas dalam masa terdekat daripada empat negara lain yang sudah menerima jemputan daripada pihaknya.
Menurut Pembantu Presiden Rusia, Yuri Yushakov lebih daripada 20 negara menunjukkan minat terhadap usaha BRICS dan pintu persatuan itu tetap terbuka untuk kemasukan individu yang berfikiran sama.