28 DIS : Empat rakyat Malaysia disahkan cedera selepas terlibat dalam kemalangan bas pelancong berhampiran Tasik Asvatnet di Norway, Khamis lalu.
Kementerian Luar yang dikenali sebagai Wisma Putra mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan.
Katanya, keempat-empat individu terbabit mengalami cedera ringan dan kini ditempatkan di Hotel Thon, Lofoten.
Terdahulu, Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm dilaporkan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kemalangan bas, kira-kira jam 1.30 tengah hari waktu tempatan pada 26 Disember itu.
Laporan awal mengatakan bas itu sebahagiannya tenggelam dalam tasik itu dan dinaiki pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis dan Ukraine.
Kemalangan berlaku susulan cuaca buruk termasuk salji tebal dan angin kencang menyebabkan bas hilang kawalan lalu terbabas.
Sementara laporan media antarabangsa menyebut tiga maut manakala empat parah selepas bas itu terbabas dari lebuh raya lalu terjunam ke dalam tasik di utara Norway itu dan menerima rawatan di Hospital Stokmarknes.
Usaha menyelamat dikatakan berdepan cabaran akibat cuaca buruk namun semua penumpang yang terselamat berjaya dipindahkan pihak berkuasa Norway.
Untuk sebarang bantuan konsular, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm boleh dihubungi di alamat Karlavägen 37, 114 31 Stockholm, Sweden atau melalui panggilan telefon di +46 8440 8400 (pertanyaan umum) / +46 73 536 9152 (di luar waktu bekerja & hujung minggu) atau e-mel di mwstockholm@kln.gov.my.