28 DIS : Kerajaan menjamin bekalan kelapa akan mencukupi menjelang musim perayaan awal tahun hadapan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata FAMA Corp Sdn Bhd akan mendapatkan bekalan dari negara luar termasuk Indonesia.
“Kita dengan FAMA Corp…supaya dapat dibawa kelapa dari luar khasnya Indonesia…lebih banyak.
“Sementara jangka panjangnya kita juga menggalakkan penanaman kelapa dan sudah banyak pengusaha-pengusaha baru sekarang menyedari bahawa penanaman kelapa ini satu perkara yang menguntungkan.
“Memang kita tahu di Malaysia ini orang-orang yang berada nak melaburkan dalam pertanian ni agak masih rendah kalau dibandingkan dengan negara-negara lain. Tapi kita terus memberi galakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke Taman Agro Duriotourism di Mardi Kuala Kangsar, hari ini.
Menurut Mohamad, harga produk berkaitan kelapa terutama santan sedang mengalami peningkatan harga.
Dalam pada itu, Mohamad berkata pihaknya menggalakkan pelaburan susulan minat masyarakat tempatan dalam sektor pertanian masih rendah di negara ini.
“Kita sudah mencapai Tahap sara diri (SSL) bagi industri akuakultur terutamanya ikan. Malah ikan dari spesis Talapia misalnya boleh dipasarkan ke negara luar seperti China dan Jepun.
”Ertinya ruang-ruang dalam pertanian ni perlu dipertingkatkan dengan lebih hebat dan Malaysia boleh menjadi negara pengeluar yang hebat pada masa akan datang,” katanya.