28 DIS : Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada Azerbaijan di atas tragedi pesawat Azerbaijan Airlines terhempas di Kazakhstan, Rabu lalu.
Ucapan itu disampaikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang mewakili Malaysia ketika hadir ke Pejabat Kedutaan Azerbaijan.
Mohamad berkata, beliau menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam daripada kerajaan dan rakyat Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Azerbaijan serta keluarga mangsa terlibat menerusi kunjungan itu.
“Kerajaan Malaysia mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini.
“Malaysia mengulangi komitmen untuk terus memperkukuhkan hubungan diplomatik dan persahabatan dengan Azerbaijan dalam menghadapi cabaran bersama di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Pada Rabu, penerbangan yang membawa 67 penumpang dari ibu negara Azerbaijan, Baku ke bandar Grozny, Rusia terhempas kira-kira 3 kilometer dari bandar Aktau di Kazakhstan yang terletak di pesisir Laut Kaspia.
Azerbaijan Airlines dilaporkan berkata hasil siasatan awal menunjukkan nahas yang meragut 38 nyawa itu disebabkan ‘gangguan luaran fizikal dan teknikal’.