28 DIS : Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai bagi pesalah syariah di Terengganu tidak bertujuan untuk menghukum secara kejam.
Sebaliknya, hukuman tersebut lebih kepada mendidik, mencegah dan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menjaga nilai-nilai agama.
Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata pelaksanaan hukum itu juga tidak membangkitkan isu Islamofobia seperti diperkatakan sesetengah pihak.
Jelas beliau, ia kerana kehadiran pihak luar untuk menyaksikan hukuman tersebut tertakluk kebenaran Mahkamah Syariah.
“Pelaksanaan hukuman sebatan itu hanya boleh disaksikan Pegawai Kehakiman Syariah iaitu seorang hakim syarie atau pegawai yang dilantik untuk memastikan hukuman dilaksana mengikut peraturan ditetapkan, selain seorang pendakwa yang bertanggungjawab dalam kes tersebut serta orang difikirkan patut hadir oleh mahkamah.
“Maka adalah pasti ia hanya disaksikan oleh orang Islam sahaja dan jelas sekali hukuman tersebut bagi menyedarkan umat Islam untuk tidak melakukan kesalahan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dalam kalangan masyarakat berhubung pelaksanaan hukum tersebut.
Dalam pada itu, Mohd Amran berkata hukuman yang dijalankan mengambil kira prinsip kemanusiaan dan dilakukan dengan penuh etika.
Jelasnya, sebagai contoh, alat sebatan direka khas bagi mengurangkan risiko kecederaan fizikal selain menyediakan bantuan pegawai perubatan bagi memastikan keadaan kesihatan pesalah sebelum dan selepas pelaksanaan hukuman.
Selain itu, Mohd Amran berkata pelaksanaan hukuman sebatan di luar penjara itu mematuhi garis panduan yang dibangunkan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti JKSM, Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa agama negeri.
Katanya, pelaksanaan itu jugaberdasarkan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah dan enakmen negeri yang relevan.
“Malaysia adalah negara yang unik dengan wujudnya dua undang-undang iaitu undang-undang sivil dan syariah yang secara khusus mengatur hal-hal berkaitan umat Islam di samping undang-undang adat di Sabah dan Sarawak.
“Dalam konteks ini penting untuk masyarakat memahami pelaksanaan hukuman ini adalah sebahagian daripada usaha menegakkan keadilan dan menjaga kesejahteraan masyarakat menurut prinsip agama,” katanya.
Semalam, pesalah khalwat berulang menjalani hukuman enam sebatan yang disaksikan kira-kira 90 individu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Hukuman sebatan syariah itu menjadikan tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42 sebagai individu pertama di Terengganu menjalani hukuman sebat di khalayak ramai kerana kesalahan tersebut.