28 DIS: Syarikat gergasi bahan api dan tenaga, Shell memaklumkan menutup satu daripada unit pemprosesan minyak di Shell Energy and Chemicals Park di Pulau Bukom, Singapura.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), penutupan itu bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas kebocoran yang disyaki berlaku dalam sistem itu.
Katanya, terdapat beberapan tan produk minyak yang diproses bersama pelepasan air sejuk yang digunakan untuk menghasilkan produk minyak yang diproses seperti diesel mengalami kebocoran.
“Air yang diambil dari laut digunakan sebagai sebahagian daripada proses untuk menyejukkan produk minyak itu di unit itu,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Ekoran kejadian itu, Shell bertindak menggunakan pelampung penahan dan bahan penyerap bagi menyembur bahan pengurai di saluran tempat air penyejuk dibuang.
Katanya, sistem pengasing minyak yang terpasang di saluran itu turut diaktifkan bagi menghalang minyak yang masih ada daripada merebak ke laut.
Dalam pada itu, Shell memaklumkan tiada tompok minyak hitam dikesan di sekitar Pulau Bukom dan pihaknya menyediakan bot bagi membersihkan lapisan minyak ringan yang dikesan di luar pulau itu.
Selain itu, katanya agensi-agensi berkaitan turut memantau situasi itu dengan teliti dengan menggunakan satelit dan dron.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, pelampung penyerapan minyak akan dipasang di Taman Laut Pulau Sisters dan di pantai di Sentosa.
“Kejadian ini tidak menjejaskan lalu lintas pelayaran di kawasan itu atau operasi pengisian minyak di Pelabuhan Singapura,” katanya.
Katanya, Shell bersama NEA dan MPA akan mengambil tindakan sekiranya sebarang bukti dan kelemahan ditemui.