30 DIS : Kerajaan sedang mencari solusi dari sudut teknologi bagi membanteras ‘lorong-lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kos inisiatif itu lebih rendah berbanding membina tembok fizikal di sempadan.
“Seperti yang kita sedia maklum, ‘lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand adalah satu cabaran besar dalam menangani jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
“Menuju ke hadapan, KDN sedang menjalankan inisiatif menyediakan solusi menggunakan teknologi dengan kos yang lebih rendah daripada pembinaan tembok. Ini adalah bagi memastikan keselamatan rakyat terus terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi juga akan dijalankan di Rantau Panjang bagi meningkatkan kekuatan di sempadan.
“Agensi ‘bongsu’ KDN iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) juga bakal memulakan operasi rentas mereka di Rantau Panjang, Kelantan dan insya-ALLAH ini akan meningkatkan lagi kekuatan KDN melindungi sempadan Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara, beliau mengutamakan setiap langkah diambil itu memberi manfaat kepada negara dan rakyat.
“Namun, kekuatan sebenar bermula dengan mereka yang menjaga sempadan kita. Di Padang Besar, kami telah menyiapkan projek perumahan untuk anggota keselamatan, lengkap dengan kemudahan seperti masjid, dewan serbaguna, dan taman permainan.
“Ini bukan hanya pelaburan dalam keselamatan negara tetapi juga dalam kebajikan mereka yang bertugas menjaga kita semua.
“Keutamaan saya adalah memastikan setiap langkah yang diambil dari teknologi ke kerjasama antarabangsa mendatangkan manfaat kepada negara dan rakyat.
Katanya, pelbagai inisiatif dan tambah baik juga sudah dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia di pintu masuk-pintu masuk Malaysia.
“Pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR bagi bas dan motosikal di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor adalah satu inisiatif yang berjaya mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura.
“Selain itu, penggunaan autogate di KLIA Terminal 1, Terminal 2 & BSI juga telah membantu melancarkan proses kemasukan ke Malaysia,” katanya.