30 DIS : Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada Korea Selatan dan Thailand susulan nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, pada Ahad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa dukacita atas kejadian tragis nahas pesawat itu menerusi hantaran Facebooknya pada Ahad.
Anwar yang mewakili rakyat Malaysia berkata Malaysia berdiri teguh dan bersolidariti dengan rakyat Korea Selatan serta Thailand pada masa kesedihan ini.
“Fikiran saya bersama keluarga dan insan tersayang mereka yang kehilangan nyawa dalam tragedi menyayat hati ini, kami mengucapkan takziah kepada semua yang terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata tragedi terbabit berlaku ketika ramai sedang berkumpul bersama keluarga dan sahabat sempena cuti tahun baharu.
“Kehilangan yang mengerikan ini mengingatkan kita betapa berharga dan rapuhnya hidup.
“Marilah kita meluangkan sedikit masa untuk menghargai orang di sekeliling kita,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pesawat membawa 181 nyawa itu terbakar selepas terbabas dari landasan dan melanggar dinding di lapangan terbang di daerah Muan, Korea Selatan yang dipercayai menyebabkan semua terkorban kecuali dua mangsa.
Seamai 179 penumpang termasuk kru yang menaiki pesawat dalam perjalanan pulang dari Bangkok, Thailand itu terkorban dan kesemuanya merupakan rakyat Korea serta dua warga Thailand.